Thursday 24 March 2011

BENGKEL PENGURUSAN JENAZAH SIRI 1


16 Mac 2011 - Objektif  utama pelaksanaan Bengkel Pengurusan Jenazah Siri 1 ialah mewujudkan kumpulan pengurusan jenazah yang terdiri daripada staf Hospital USM. Penyertaan dihadkan kepada 50 orang peserta bagi memudahkan pemahaman secara teori bahkan lebih-lebih lagi dari segi praktikal. Bengkel Pengurusan Jenazah Siri 1 ini  dilaksanakan khusus untuk staf wanita. Pengkhususan peserta mengikut gender memudahkan pengurusan praktikal dan juga penjagaan dari segi batas aurat semasa sesi bengkel dilaksanakan.

Pihak Unit Hal Ehwal Islam HUSM telah menjemput Ybrs. Ustaz Mohd Kashuadi Abd Sihani, Pegawai Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan untuk mengupas mengenai pengurusan jenazah keseluruhannya iaitu pengurusan memandikan jenazah, mengapan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah.  Keempat-empat perkara tersebut merupakan urusan fardhu kifayah yang mesti disempurnakan oleh orang-orang Islam terhadap seseorang Islam yang telah mati sama ada kecil atau besar, lelaki mahupun perempuan. 


Praktikal secara berkumpulan dapat menambahkan lagi tahap pemahaman peserta terhadap isi penyampaian.

Pelaksanaan sesi praktikal memandikan dan mengapankan jenazah secara berkumpulan memberi peluang kepada para peserta untuk lebih faham secara mendalam; setiap kumpulan dikendalikan oleh fasilitator yang berpengalaman dalam pengurusan jenazah iaitu Pn. Hjh Nor Himah Hj Mahmood, Pn. Meriam Jusoh, Matron Saniah Said, Matron Saleha Itam dan Matron Norliah Yahaya daripada Unit Kejururawatan.

Unit Hal Ehwal Islam HUSM memilih kaedah program latihan berbentuk bengkel seperti ini kerana matlamat unit supaya setiap peserta dapat memahami isi kandungan program atau isi penyampaian dengan baik disamping latihan secara praktikal memberi kesan kepada setiap individu peserta tersebut.

Laporan Unit Hal Ehwal Islam

No comments:

Post a Comment