Sunday 27 February 2011

SIKAP MENENTUKAN KECEMERLANGAN - Berjimat Berkat, Membazir Mudarat

Berjimat cermat bererti menggunakan sesuatu dengan penuh berhati-hati, penuh teliti dan penuh bijaksanaan.

Dalam Tonggak 12, kerajaan telah mengenengahkan kepentingan dua belas nilai dan norma-norma kerja menyebutkan bahawa nilai dan norma kerja kesembilan iaitu kemuliaan kesederhanaan dimana amalan positif ialah berjimat cermat; manakala amalan negatif dan dilarang ialah membazir dan merosakkan harta Kerajaan.

Agama Islam tidak menyuruh umatnya meninggalkan segala nikmat kehidupan yang disediakan di dunia ini sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan kebahagiaanmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."

Ayat tersebut menjelaskan supaya kita mencari rezeki yang ada di muka bumi ini dan menggunakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah itu dengan sebaik-baiknya dengan menyediakan keperluan diri sendiri dan keluarga serta berbuat baik kepada makhluk Allah dengan cara bersedekah dan sebagainya bagi mendapatkan pahala dari Allah jua sebagaimana Allah telah mengurniakan rezeki ke atas hambaNya dan Allah tidak suka orang-orang yang membuat kerosakan dimuka bumi ini seperti bakhil atau kikir dalam mengeluarkan zakat dan sedekah, melakukan pembaziran atau boros dan sebagainya.

Agama Islam melarang umatnya melakukan pembaziran kerana ia dianggap sebagai perbuatan keji dan tidak bermoral. Malah orang yang bersikap boros dan membazir itu adalah rakan syaitan seperti mana dalam firman Allah dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang berbuat membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Tuhannya."

Kesan daripada berjimat cermat bukan sahaja menjamin keutuhan dan kekuatan ekonomi kita sendiri, bahkan juga akan dapat menolong memperkukuhkan ketahanan ummah dan negara. Dengan berjimat cermat kita akan dapat menyelamatkan diri daripada berbagai tekanan seperti hutang yang tidak dapat dibayar, kehilangan harta kerana terlebih belanja daripada pendapatan atau kemampuan; dan lain-lain lagi.

Sebaliknya dengan berjimat-cermat kita dapat mengukuhkan self-esteem sebagai warga HUSM yang bebas dari hutang yang melarat; dan dengan secara bijaksana membelanjakan peruntukan yang diberi oleh kerajaan dengan memperluaskan dan meningkatkan aktiviti penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Sempena Kempen Penjimatan Kemudahan Asas HUSM yang berlangsung sepanjang bulan Februari 2011

No comments:

Post a Comment